Headlines News :
Home » » Kesakitan Bukan Masalah Besar

Kesakitan Bukan Masalah Besar


RATU terjun negara, Pandelela Rinong yakin kesakitan belakang yang masih dialaminya tidak akan mendatangkan masalah besar untuk beraksi di Olimpik, London, bulan depan.

Dengan Olimpik hanya berbaki kurang 54 hari saja lagi, Pandelela berkata meskipun kesakitan itu masih ada tetapi dirinya sedang beransur pulih.


“Kesakitan itu tidak mengganggu latihan atau prestasi saya setakat ini. Ia tidak akan mendatangkan masalah besar buat saya meskipun Olimpik sudah hampir menjengah.


“Saya yakin ia akan beransur pulih sebelum kami ke London,” katanya ketika dihubungi di Yunnan, China, semalam.


Skuad terjun ketika ini sedang menjalani latihan pusat di negara tembok besar itu sebagai persediaan intensif sebelum ke London.



Atlet yang menjadi sandaran pingat emas di Olimpik itu mengalami kesakitan belakang sejurus selepas tamat saingan kedua Siri Dunia Fina di Beijing, Mac lalu, sehingga disediakan khidmat tukang urut buatnya sepanjang baki dua saingan lagi, di Moscow dan Tijuana.




Kesakitan itu masih terus dirasainya selepas skuad menamatkan dua sirkit Grand Prix Fina di Kanada dan Amerika Syarikat, bulan lalu. 

Mengulas lanjut, Pandelela berkata latihan di China sehingga 20 Julai ini memberinya peluang untuk mengekalkan daya kestabilan bagi merealisasikan impian negara meraih pingat emas pertama di London.


“Sebelum ini jurulatih (Yang Zhuliang) memberi bayangan kami akan menyertai sirkit kelima Grand Prix di Madrid, Sepanyol pada 15-17 Jun ini tetapi hasrat itu dibatalkan. 


“Ini kerana latihan pusat ini amat penting untuk mengekalkan tumpuan menjelang Olimpik, malah jurulatih ingin memantau keselamatan serta menghindarkan kami dari berdepan sebarang kecederaan serius,” katanya.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 

Copyright © 2012. Bentong News - All Rights Reserved
Template Created by Che_Wan
Proudly powered by Blogger