Headlines News :
Home » » Restu Tun Siti Hasmah Buat Erra

Restu Tun Siti Hasmah Buat Erra


SEKITAR tiga bulan lagi teater yang mengangkat kisah hidup Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, 85, bakal dipentaskan di Istana Budaya. Ia diberi nama Teater Tun Siti Hasmah.
Dalam tempoh perjalanan tiga bulan ini, berkecamuk pelbagai perasaan dalam diri pendokong karakter tersebut, Erra Fazira. 
"Saya teruja dan berbesar hati kerana dapat membawa karakter tokoh ini, tapi dalam masa yang sama, agak tertekan kerana tanggungjawab saya besar apabila bersetuju untuk memainkan watak seorang tokoh yang masih hidup," ujar Erra tanpa selindung.
Jelasnya, apa yang lebih membuat dia tertekan adalah perlu mencapai piawaian yang sebenar tentang membawa karakter Siti Hasmah kerana menurut Erra, bukan sahaja Siti Hasmah sendiri yang akan menilainya, tetapi ia juga akan dinilai oleh individu-individu yang dekat dengan diri beliau seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri serta anak-anak mereka. Dalam masa yang sama, dia juga perlu meyakinkan khalayak tentang kredibilitinya membawa karakter tokoh tersebut.
Bagaimanapun ujar Erra, dia tidak mahu tenggelam 100 peratus dalam karakter Siti Hasmah.
Katanya: "Saya memang tidak akan lari daripada perlu membawa karakter Tun Siti Hasmah, tetapi saya juga tidak boleh terlalu berusaha kerana untuk meniru menjadi beliau. Apa yang boleh saya katakan untuk peringkat ini, saya akan cuba memberi gambaran terbaik tentang karakter beliau."
Baru dua kali bertemu dengan Siti Hasmah, aktres tersebut mengaku dia memerlukan beberapa siri pertemuan lagi untuk mendalami emosi Siti Hasmah sebagai seorang wanita, ibu kepada empat orang anak, bekas doktor, isteri kepada Dr. Mahathir dan bagaimana beliau menjalani kehidupan hariannya untuk memantapkan lakonannya kelak.
Jika Erra melahirkan rasa gundahnya untuk membawa karakter sehebat Siti Hasmah, bagi tuan punya badan sendiri, beliau mengaku malu untuk berbagi ceritera kehidupannya kepada khalayak. 
Ujar wanita yang dilahirkan di Selangor namun menghabiskan kebanyakan masanya di Kedah itu, beliau bukan sesiapa dan tidak mempunyai sejarah penting untuk diangkat ke dalam naskhah teater. Justeru, beliau juga gugup untuk dipentaskan sebagai wanita ikon.
Beliau yang ditemui semasa sesi temu bual santai tentang teater tersebut pada pagi Jumaat lalu, bagaimanapun memberitahu, akhirnya terpaksa memberi persetujuan selepas dipujuk selama setahun oleh pihak produksi yang mahu mementaskan riwayat hidupnya, World Islamic Network Television Sdn. Bhd. (WINTV).
"Secara peribadi, saya malu untuk diangkat ke pentas teater kerana beranggapan saya hanya seorang wanita biasa yang tidak mempunyai apa-apa sejarah besar untuk diberitahu kepada umum.
"Bagaimanapun, saya mengalah selepas didesak dan bersetuju kepada pihak produksi supaya ia memberi fokus terhadap perkhidmatan saya kepada masyarakat iaitu sebagai seorang pegawai kesihatan," ujarnya sambil tersenyum.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 

Copyright © 2012. Bentong News - All Rights Reserved
Template Created by Che_Wan
Proudly powered by Blogger