Menjadikan Aznil Nawawi, Sharifah Shahira dan Jozan sebagai insan rujukan untuk memantapkan tugas baru itu, Marsha bagaimanapun masih bergelut untuk menyembunyikan loghat Sabah tatkala berada di depan kamera.
“Loghat saya masih lagi tebal dan itulah antara cabaran terbesar dalam mengacarakan Propaganza.
Selain itu, cabaran lain, rancangan ini ke udara secara langsung dan sekali jalan saja. Berbanding lakonan, sekurang-kurangnya saya masih boleh memperbaiki pertuturan kerana babak boleh diulang-ulang.
“Saya harus juga berterima kasih kerana digandingkan dengan Reza. Dia pun sudah lama dalam bidang ini dan apa-apa kekurangan mudah saja bagi saya untuk merujuk kepadanya,” jelasnya.
Masih berkira-kira sama ada ingin meneruskan atau tidak pada musim akan datang, Marsha tidak ada apa-apa perancangan setakat ini dan mahu hanya tunggu dan lihat.
Dalam pada itu, dia masih lagi mengimpikan agar kerjaya nyanyiannya juga menemui saat kemuncaknya.
Niat asalnya terbabit dalam industri menjadi penyanyi nampaknya semakin samar apabila bakatnya dipandang sepi. Biarpun secara kasarnya, Marsha juga antara penyanyi wanita yang berpotensi, industri muzik seolah-olah belum mengiktirafnya.
“Memang saya kecewa namun apa boleh buat. Saya kena sabar dan terus berharap saja kerana apa yang pasti, saya tidak akan berputus asa.
"Syukur saja, tawaran menyanyi masih lagi banyak dan sekurang-kurangnya ia membuktikan nyanyian saya masih diterima. Saya pun dalam proses untuk muncul dengan single terbaru.
“Kali ini, saya sangat menaruh harapan agar single berjudul Kepastian Cinta ciptaan Ajai mampu membuka mata orang.
"Cukup bermakna dan ada kaitan dengan kehidupan saya, diharap lagu ini juga akan menaikkan semula ‘jenama’ Marsha sebagai seorang penyanyi. Berentak balada, kemungkinan single ini akan dilancarkan pada Julai atau Ogos nanti,” katanya lagi.
Lebih banyak kelihatan dalam lakonan pada ketika ini, Marsha tidak menolak perasaan gementar menantikan filem pertama dia menjadi watak utama, Qada yang akan ditayangkan penghujung tahun ini.
Diarahkan Michael Ang, Marsha pada mulanya ingatkan Qada adalah sebuah telemovie, namun rupa-rupanya ia sebuah filem. Istimewanya, lagu tema filem itu berjudul Tentang Cinta adalah dendangannya.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !