KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengenai pemberian pinjaman kerajaan RM250 juta kepada National Feedlot Corporation NFCorp ditutup selepas mendapati tiada pembabitan bekas menteri itu.
Perkara itu dinyatakan Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil dalam sidang akhbar di sini, sebentar tadi.
“Kami mendapati beliau (Sahrizat) tidak terbabit dalam proses pemberian pinjaman itu.
“Keputusan untuk memberi kontrak kepada syarikat berkenaan dan pemberian pinjaman tidak membabitkannya (Shahrizat)," katanya.
Dalam perkembangan lain, Shahrizat dibenarkan oleh pihak mahkamah untuk meminda tuntutan saman terhadap Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.
Hakim Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan itu berikutan tiada bantahan daripada Zuraida dan Mohd Rafizi.
Shahrizat diwakili peguam Datuk Ahmad Redza Abdullah manakala Zuraida diwakili peguam Razlan Hadri dan peguam Ranjit Singh bagi pihak Mohd Rafizi.
Pada 19 Januari lalu, Shahrizat memfailkan saman terhadap Zuraida dan Mohd Rafizi berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah beliau berhubung isu projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Shahrizat menuntut ganti rugi am sebanyak RM50 juta dan RM50 juta lagi bagi ganti rugi teladan dan teruk daripada kedua-dua defendan.
Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau dengan cara penerbitan terhadap beliau berhubung National Feedlot Corporation Sdn Bhd atau syarikat-syarikat bersekutunya.
Ketua Wanita Umno itu mendakwa kedua-dua defendan secara sistematik dan berniat jahat melancarkan satu kempen untuk “serang, mencemarkan nama baik, memburuk-burukkan dan memfitnah” beliau dengan menyebarkan dakwaan mengandungi fitnah terhadap beliau.
Perbicaraan kes saman tersebut ditetap pada 6 dan 10 Ogos.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !