KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah bertitah keamanan dan keharmonian negara bukanlah sesuatu yang boleh diperjudikan malah tidak wujud istilah peluang kedua untuk keamanan sesebuah negara.
Seri Paduka bertitah jika sekali keamanan negara hancur dan hilang, nescaya rakyat akan hidup dalam keadaan mundur dan porak-peranda.
"Menyedari hakikat ini, beta menyeru kepada sekalian rakyat supaya lebih berhati-hati dan berfikir secara lebih matang. Keamanan dan keharmonian bukanlah sesuatu yang boleh kita perjudikan.
Maka, sebagai sebuah bangsa merdeka lagi bertamadun, salurkanlah apa jua kritikan malah bantahan sekali pun dengan cara berhemah dan berhikmah," titah Tuanku Abdul Halim sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Seri Paduka yang disiarkan menerusi TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.
Seri Paduka turut melahirkan rasa amat dukacita dengan tindak-tanduk dan angkara sesetengah pihak yang dilihat sengaja ingin meruntuhkan asas keamanan negara yang telah dicipta secara bersusah payah. Tuanku Abdul Halim bertitah perbuatan sedemikian jelas memperlihatkan niat tidak murni dan ketidakjujuran mereka dalam menjalankan peranan siasah mahu pun organisasi.
"Sepatutnya, mana-mana kumpulan, dalam menjalankan peranan siasah mahu pun organisasi masing-masing, hendaklah memberikan kritikan yang membina dan kondusif, bukannya memperalatkan rakyat yang tidak bersalah sehingga memesongkan pemikiran mereka," titah Seri Paduka.
Seri Paduka bertitah tindakan golongan tertentu yang mendakwa berjuang atas nama kebebasan dan hak asasi manusia dilihat hanya bertujuan menimbulkan provokasi dan meletakkan keamanan negara dalam situasi yang berbahaya.
Tuanku Abdul Halim mengingatkan bahawa rakyat tidak boleh alpa dan leka dengan anasir luar yang tidak berputus asa mahu menceroboh benteng kedamaian negara.
"Menyedari hakikat ini, amat penting bagi kita memperkukuhkan jati diri serta semangat cintakan negara. Setelah lebih setengah abad mengecap nikmat merdeka, janganlah kita terpedaya dengan dakyah atau apa jua propaganda luar yang tidak lain dan tidak bukan, hanya mahu menguasai dan mengganggu-gugat negara kita.
"Penjajahan bentuk baru terhadap politik dan ekonomi Malaysia yang cuba dilakukan ini haruslah disekat dan ditentang bersama. Mahu tidak mahu, kedaulatan tanah air tercinta mestilah terus dipertahankan," titah Seri Paduka.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !