KUANTAN - Penemuan bahan berstruktur nano yang diaplikasi untuk barangan elektronik, simpanan tenaga, penjagaan kesihatan dan pemuliharaan alam sekitar menarik minat saintis dan jurutera menjalankan kajian penyelidikan dalam bidang sains serta kejuruteraan teknologi itu.
Justeru, seramai 149 peserta melibatkan 16 negara menghadiri Persidangan Antarabangsa Teknologi Nano (ICONT) 2012 anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) bertujuan bagi mempertingkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan teknologi nano serta berkongsi penemuan terkini dalam bidang itu.
Penganjuran menerusi Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST) UMP dengan kerjasama SIRIM Berhad dan kerajaan negeri melibatkan peserta dari Indonesia, Singapura, Australia, Jepun, Korea, Amerika Syarikat, India, Pakistan, Arab Saudi, Iran, Sweden, Rusia, United Kingdom, Oman dan Austria.
Majlis penutup persidangan tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin di sini baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Eksekutif SIRIM, Dr. Zainal Abidin Yusof; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Prof. Datuk Dr. Rosli Mohd. Yunus; Dekan FIST, Prof. Dr. Mashitah Mohd. Yusoff, Pengerusi Persidangan ICONT, Prof. Dr. Jose Rajan dan Presiden IKM, Datuk Dr. Soon Ting Kueh.
Mohd. Sharkar dalam ucapannya berkata, kerjasama strategik itu dilihat sejajar dengan hasrat kerajaan bagi menggalakkan pertumbuhan pelbagai sektor dalam bidang sains dan teknologi.
Katanya, melalui penjanaan kuasa modal insan, penyelidikan saintis jurutera dapat menjayakan Pelan Induk Perindustrian (PIP) dan penglibatan universiti ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dalam pembangunan nanoteknologi bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
"Kerajaan negeri bangga atas usaha UMP yang berperanan dalam menghimpunkan pakar dan penyelidik menerusi platform ini. Sudah pasti ia mampu mewujudkan satu perspektif baharu dalam membincangkan cabaran terhadap teknologi nano pada masa hadapan.
"Atas sokongan itu, kerajaan negeri mengumumkan UMP akan menerima empat hektar tanah bagi membolehkan aktiviti penyelidikan dijalankan selain meluluskan sumbangan sebanyak RM20,000 atas usaha keras universiti itu menganjurkan persidangan tersebut," jelasnya.
Sementara itu, Rosli berkata, melalui perbincangan secara mendalam dan menyeluruh peserta diberi kefahaman mengenai aspek penting seperti kemajuan terkini dalam bidang sains dan kejuruteraan bahan nano.
"Dengan penemuan sintesis dan pemprosesan bahan nano melalui teknik serta pendekatan yang lebih inovatif, ia dapat menghasilkan produk pelbagai ciri sama ada berbentuk fizikal, elektrikal, kimia dan biologi dengan harga yang lebih murah," ujarnya.
Pada majlis tersebut, turut diadakan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara UMP dengan Institut Kimia Malaysia (IKM) dan Malaysia Solar Resources (MSR) dalam menjalinkan kerjasama dalam bidang kimia dan kejuruteraan termasuk pembangunan serta penyelidikan.